HomeBeritaRakyat dijangka peroleh gaji lebih tinggi tahun hadapan

Rakyat dijangka peroleh gaji lebih tinggi tahun hadapan

RAFIZI Ramli berkata, rakyat bakal menikmati gaji lebih tinggi pada tahun hadapan melalui pengumuman Belanjawan 2024, yang akan dibentangkan Oktober ini.

Jelas Menteri Ekonomi itu, kenaikan gaji tersebut akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan kerajaan melalui hala tuju penggajian rakyat.

“Hala tuju penggajian sudah ada, rakyat akan mula rasa gaji lebih tinggi tahun hadapan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan peruntukan kerajaan untuk menaikkan gaji rakyat, melalui Belanjawan dibentangkan Oktober ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sesi Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia bersama Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang disiarkan secara langsung di RTM.

Meskipun ekonomi negara belum pulih, Rafizi berkata, kerajaan berada pada landasan yang baik dalam aspek penyelesaiannya.

Beliau berkata, usaha Kerajaan Perpaduan setakat ini sudah menunjukkan hasil awalnya termasuk mengatasi masalah kenaikan harga barangan yang berterusan, selain inflasi bulanan berjaya diturunkan pada paras terendah dalam tempoh 12 bulan.

“Minat pelabur juga semakin pulih bukan saja (pelabur) besar, namun juga pelabur dana pendek yang kembali ke bursa saham pada kadar lebih tinggi berbanding negara serantau ASEAN dalam tempoh dua bulan.

“Kalau kita kekal berada pada landasan ini, Malaysia mampu sertai senarai negara berpendapatan tinggi atau negara maju antara tahun 2026 hingga 2028,” katanya.

Tambah Rafizi, tidak timbul Anwar mengawal kedua-dua perbelanjaan iaitu membabitkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan walaupun Perdana Menteri itu memegang jawatan Menteri Kewangan.

Ini kerana, katanya, Perdana Menteri buat pertama kalinya melepaskan kuasa perbelanjaan pembangunan kepada Kementerian Ekonomi, di bawahnya.

“Perbelanjaan negara ada dua bahagian iaitu perbelanjaan mengurus dan pembangunan, perbelanjaan mengurus adalah pembayaran gaji, hutang dan sebagainya yang tidak sangat membabitkan perbelanjaan besar. Itu di bawah Kementerian Kewangan.

“Perbelanjaan pembangunan pula membabitkan projek membina jalan, membuat bangunan di bawah Kementerian Ekonomi, Perdana Menteri daripada kuasa berbelanja adalah lebih rendah daripada saya.

“Tidak pernah ada Perdana Menteri melepaskan kuasa perbelanjaan pembangunan, hanya Anwar lepaskan kepada saya,” katanya.

Author

Pilihan Editor