HomeBeritaKes Iki Putra bakal cabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah

Kes Iki Putra bakal cabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah

IPOH: Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS) berpendapat perkembangan kes Iki Putra Mubarak yang perbicaraannya bakal didengar di Mahkamah Persekutuan 17 Ogos ini sebagai mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah di setiap negeri.

Pengerusi MUIS yang juga Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata sekiranya kemenangan berpihak kepada pencabar, pihaknya melihat pihak berkuasa negeri tidak boleh menggubal undang-undang jenayah syariah seperti kesalahan berjudi, minum arak berzina dan sebagainya memandangkan undang-undang berkaitan jenayah dikatakan sebagai bidang kuasa Persekutuan.

Malah katanya, MUIS berpandangan situasi ini akan menyentuh kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri selain akan menyempitkan kuasa Mahkamah Syariah di setiap negeri, lapor Berita Harian.

“MUIS sangat khuatir dan bimbang terhadap kesan keputusan Mahkamah Persekutuan yang akan menyambung perbicaraan kes Iki Putra itu pada 17 Ogos ini yang mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah sekiranya pihak yang mencabar berkenaan menang.

“(Jika pencabar menang) Maka undang-undang jenayah syariah yang sedang terpakai sekarang di setiap negeri adalah disifatkan tidak berperlembagaan dan tidak terpakai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamri turut mencadangkan agar Penasihat Undang-Undang di setiap negeri selain Penasihat Undang-Undang Majlis Agama Islam Negeri menyembah nasihat yang sewajarnya bagi memberi gambaran tepat kepada Sultan di negeri masing-masing berkaitan perkembangan kes Iki Putra.

MUIS, katanya turut menggesa umat Islam merentas ideologi politik, kumpulan dan semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam agar melupakan perbezaan sesama sendiri dan segera bersatu padu demi memperjuangkan keabsahan undang- undang jenayah Syariah.

“MUIS berkeyakinan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang juga mantan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sedar akan perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya demi kelangsungan undang-undang syariah di Malaysia,” katanya.

Dilaporkan, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, dia mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Kes Iki Putra akan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan pada 17 Ogos ini bagi mencabar kesahihan enakmen jenayah syariah.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang dibuat oleh Iki Putra terhadap Seksyen 28 EJSS 1995 dan sekaligus mengenepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Bagaimanapun pada 19 Mac tahun sama, media melaporkan seramai 200 peguam termasuk peguam bela, peguam cara dan peguam syarie menandatangani petisyen bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra.

Menerusi kenyataan bersama, kumpulan peguam itu menyatakan kebimbangan terhadap implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra melawan Kerajaan Selangor terhadap bidang kuasa negeri menggubal undang-undang jenayah Islam.

Author

Pilihan Editor