CYBERJAYA: Demi menaikkan semangat murid untuk belajar, seorang guru mengaplikasikan ‘trend’ terkini dalam sesi pembelajaran yang dikendalikannya.
Menerusi hantaran di Twitter @chuckee_little, dikongsi kisah seorang guru Bahasa Inggeris, Muhammad Nazmi membina beberapa buah kotak ‘Barbie’ bersaiz besar untuk mengajar murid-muridnya.
Menurut Nazmi, dia menggunakan kotak itu untuk mengajar murid darjah dua kata nama baru serta mengasah kemahiran pendengaran dan percakapan.
Tambahnya, teknik itu turut membantu muridnya membina ayat termasuklah dalam penulisan.
“Senarai perkataan mengandungi kata nama; nama benda yang biasanya menjadi aksesori anak patung Barbie (cermin mata hitam, gelang, tiara,) dan murid diajar secara ringkas cara menggunakan model ayat.
“Saya memperkenalkan mod soalan kepada murid di mana murid boleh menjawab secara lisan menggunakan model ayat yang mereka pelajari.
“Saya membantu setiap kumpulan sehingga semua orang sudah memutuskan empat aksesori yang mereka mahu jika mereka adalah anak patung Barbie,” katanya.
If you guys tired with all negative and demotivating news in the social media..
So I hope this can give you guys a break..I build Barbie Box to teach my pupils ☺️☺️☺️ pic.twitter.com/qZ2j655BjF
— Muhammad Nazmi (@chuckee_little) August 20, 2023
Dalam pada itu, Nazmi yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Sarawak tersentuh melihat anak muridnya teruja mendapat anak patung Barbie.
“Bahagian ini juga membuatkan saya tersentuh melihat kanak-kanak yang teruja melihat anak patung Barbie dalam bungkusan buat kali pertama,” luahnya.
Justeru, Nazmi berharap dengan perkongsiannya itu dapat memberi inspirasi kepada para guru dalam mencari idea bagi menyuntik semangat belajar dalam diri murid-murid.
“Saya harap yang ini dapat memberi inspirasi kepada anak-anak didik anda, atau mengembangkan idea-idea anda. Harap bermanfaat untuk semua juga,” ujarnya.