SERDANG: MAYAT lelaki yang ditemukan di dalam sebuah guni di tapak premis besi buruk di Taman Bukit Serdang, Selangor baru-baru ini berpunca daripada kecederaan akibat dipukul dengan objek tumpul.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten A.A Anbalagan berkata, hasil dapatan tersebut merupakan susulan proses bedah siasat, yang dijalankan oleh pakar doktor bedah forensik di Jabatan Forensik Hospital Serdang, pada Sabtu.
“Punca kematian mangsa adalah disebabkan ‘multiple blunt force trauma’ pada seluruh tubuh badan si mati. Kes ini masih dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jumaat lalu, mayat seorang lelaki yang disyaki dibunuh ditemukan di lokasi kejadian dan dipercayai telah dibunuh sebelum dimasukkan ke dalam satu guni plastik berwarna putih.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.