HomeBeritaPolitikMegat buktikan perpaduan PH, BN bukan hanya slogan

Megat buktikan perpaduan PH, BN bukan hanya slogan

SHAH ALAM: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyangkal dakwaan pihak lawan yang mengatakan BN dan Pakatan Harapan (PH) tidak sehaluan dalam kerjasama politik.

Menurut Megat Zulkarnain, selama tiga hari berkempen selepas Penamaan Calon pada Sabtu, Kerajaan Perpaduan di negeri Selangor membuktikan ia bukan hanyalah semata-mata slogan.

“Tiga hari yang lepas, telah membuktikan bahawasanya apa yang telah diusahakan, apa yang diharapkan oleh YAB Perdana Menteri supaya satu penggemblengan tenaga, satu pemikiran yang sama bagi menuju ke arah PRN ini dapat terlaksana.

“Dalam lebih 200 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri ternyata semangat Kerajaan Perpaduan bukan hanya pada istilah tapi ini membuktikan tidak ada satu pun kerusi DUN yang kita bertembung.

“Ini menandakan bahawa Kerajaan Perpaduan benar-benar wujud demi kepentingan ummah dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pelancaran ‘Tawaran Kita Selangor 5 Tekad untuk 5 Tahun’ di Dewan Raja Muda Musa, di sini pada Isnin malam.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merangkap Pengerusi PH Selangor.

Sehubungan itu, Megat Zulkarnain mahu semua jentera parti menyebarkan mesej kepada para pengundi tentang pentingnya untuk menyokong Kerajaan Peraduan di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Tambahnya, para pengundi perlu diterangkan betapa pentingnya menolak politik perbalahan, cacian dan makian yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN).

“Kepada jentera-jentera jangan berhenti. Pulang nanti ke 56 kawasan DUN, teruskan bekerja dekati rakyat sampaikan mesej bahawa politik perpaduan yang kita bawa adalah model terbaik yang mesti diangkat, dijunjung di Selangor untuk kepentingan bersama.

“Pastikan kita tolak perbalahan, cacian dan hinaan yang dibawa oleh mereka. Tidak ada tempat untuk mereka di bumi Selangor ini,” tegasnya.

 

Author

Pilihan Editor