SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor melancarkan ‘Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun’ kepada rakyat negeri itu sepanjang tempoh lima tahun akan datang bermula 12 Ogos depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tawaran itu mengandungi lima kerangka utama dengan 53 tawaran secara keseluruhan.
“Dengan ikhtiar terhadap negeri Selangor, bukan janji populis, bukan tawaran-tawaran yang tidak boleh kita lakukan, atau janji setinggi langit.
“Tetapi tawaran-tawaran ini berdasarkan kajian dan pandangan ramai pihak di negeri Selangor. Insya-Allah tawaran 5 Tekad 5 Usaha ini akan kita segera usahakan,” katanya.
Amirudin berkata demikian ketika melancarkan Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun di Dewan Raja Muda Musa, di sini pada Isnin malam.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Pengerusi PH negeri itu menekankan tekad yang dibentangkan dalam tawaran ini adalah berdasarkan kepada kesinambungan kejayaan, kecemerlangan dan kemakmuran Selangor yang telah dikecapi.
“Kita bukan petik idea dari langit, kita bentang idea yang telah kita susun dan rangka dari mula. Sebab itu gabungan Perpaduan ini mempunyai perancangan yang jelas dan misi yang khusus buat rakyat Selangor.
“Berbeza dengan lawan kita yang sehingga kini kita tidak dengari perancangan mereka, hanya tahu memainkan sentimen agama dan kaum, hanya tahu meniupkan emosi dan kebencian, hanya tahu menabur fitnah dan buruk sangka,” jelasnya.
Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun merangkumi ekonomi unggul dan pendidikan berkualiti, pemangkin peluang pekerjaan berpendapatan tinggi (14 tawaran); Agama sebagai cahaya dan inspirasi kehidupan bermaruah di Selangor (10 tawaran); Perkhidmatan kerajaan yang cekap dan efisien (5 tawaran); Pembangunan mampan, selesa dan berdaya huni (12 tawaran) serta Selangor negeri penyayang yang membela kepentingan rakyat (12 tawaran)