MIKROFON yang dilempar penyanyi Cardi B semasa membuat persembahan dalam sebuah konsert di Las Vegas, Amerika Syarikat dilelong di laman dalam talian, eBay.
Mikrofon tersebut dilaporkan milik sebuah syarikat pengeluaran audio di Vegas, The Wave in Sin City.
Pemilik syarikat The Wave in Sin City, Scott Fisher memutuskan untuk menyenaraikan item terbabit di eBay dan mendermakan keuntungan kepada badan amal.
Bidaan dalam talian eBay itu bermula pada harga AS$500 (RM2,280) meskipun harga asalnya ialah AS$1,000 (RM4,555).
Sementara itu, sehingga petang rabu, tawaran tertinggi untuk ‘Shure Axient digital Mic Cardi B melemparkan pada seseorang’ adalah AS$94,900 (RM431,320.50).
“Walaupun selepas rapper ‘I Like It’ melemparkan kepada orang ramai, ia masih berfungsi. Hasil bidaan itu akan diberi kepada dua badan amal.
“Projek Wounded Warrior yang menyediakan sumber untuk veteran tentera dan Friendship Circle of Las Vegas, yang menyokong remaja dan orang dewasa muda yang kurang upaya,” katanya seperti dilapor portal TMZ.
Sebelum ini, video Cardi melemparkan mikrofon kepada penonton tular di media sosial.
Difahamkan, pelantun lagu WAP meminta penonton menyiramnya dengan air kerana cuaca panas namun, ia dianggap serius oleh seorang penonton dan membaling air kepadanya.
Terkejut dengan aksi spontan itu, Cardi B dilihat spontan melempar mikrofon di tangannya itu.
Media turut melaporkan individu yang dikatakan terkena mikrofon dilempar itu telah membuat satu laporan polis.