KUALA LUMPUR: Malaysia Bumiputra Designer Association (MDA) melancarkan kempen My Gaya Month 2023 buat tahun ketiga di Farenheit 88 di sini pada Selasa.
Kempen tersebut dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bersempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023.
Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, kempen My Gaya Month yang berlangsung selama sebulan menumpukan industri fesyen tanah air yang dilihat mempunyai kualiti tersendiri dan diharap boleh dihargai negara asing.
“Ini berikutan kualiti yang dihasilkan adalah adalah setanding dengan negara luar malah, ada yang dilihat lebih baik berbanding produk-produk keluaran antarabangsa,” katanya selepas melancarkan My Gaya Month.
Selain itu, beliau berharap agar kempen yang kerap dilaksanakan di dalam negara itu turut diadakan di luar negara.
Beliau yakin kaedah itu mampu memperkenalkan produk tempatan berkualiti kepada negara luar.
“Dengan cara ini sahaja industri fesyen di negara ini terus mampu bersaing dan bertahan serta mampu maju di dalam dan luar negara,” katanya.
My Gaya Month merupakan salah satu inisiatif strategik KBBM, yang mana objektifnya adalah bagi mengangkat segmen atau industri lain untuk diketengahkan, dalam membantu usahawan tempatan memasarkan produk Barangan Malaysia.
Inisiatif ini menampilkan 31 orang pereka, usahawan gaya hidup dan akademi fesyen tempatan bersama koleksi-koleksi dan produk terbaru mereka yang direka khas dan berkisar sekitar tema fabrik berelemen warisan.
Acara ini akan menyorot kepelbagaian wawasan dan kreativiti pereka-pereka fesyen tempatan di Malaysia, di samping memberi peluang kepada masyarakat dan pengunjung dari luar negara untuk menghayati kecantikan yang lahir daripada industri fesyen dan gaya hidup tempatan.
Selain memberi fokus kepada produk jualan, My Gaya Month juga merupakan inisiatif untuk memupuk ilmu dalam bidang fesyen dan gaya hidup, yang menjadi topik perbincangan relevan di kalangan pengamal dan peminat industri melalui forum perbincangan.