CYBERJAYA: Jika berlaku bencana mahupun kemalangan, peranan doktor gigi sangat penting bagi melakukan pengecaman mayat dengan hanya melalui gigi yang terdapat di lokasi kejadian.
Menerusi perkongsian Twitter @Ib_shah yang juga merupakan seorang doktor gigi, dia berkongsi kepentingan doktor gigi dalam tragedi nahas pesawat di Elmina baru-baru ini.
Menurutnya, gigi mempunyai persamaan dengan cap jari kerana setiap manusia tidak mempunyai set gigi yang sama.
“Bila bencana melanda, rekod pergigian penting dalam membantu penyiasatan. Ciri pergigian yang unik, tampalan gigi, dan rawatan pergigian boleh menjadi kunci pengenalan mayat.
“Apabila mayat terjejas teruk akibat impak,letupan dan kebakaran rekod pergigian dapat diambil kerana gigi dilitupi enamel, iaitu bahan yang paling keras dlm badan manusia.
“Ahli forensik pergigian bersama pasukan lain seperti polis di dalam Disaster Victim Identification (DVI) team, mencari bukti pergigian bagi mengenalpasti mayat. To give a name to an unrecognisable body,” katanya.
Jelasnya, pengecaman itu penting supaya mangsa dapat diberi penghormatan terakhir oleh keluarga masing-masing.
Dalam pada itu, Ibshah memberitahu, pengesahan mayat pakar forensik pergigian juga mampu untuk mengenal pasti bentuk gigitan dalam kes trauma, mengesan usia mangsa, membantu kajian akhir makmal dan memberi keterangan profesional di mahkamah.
Selain itu, simpanan rekod daripada pesakit yang disimpan oleh petugas doktor gigi di klinik harian adalah penting sekiranya diperlukan pada masa tertentu.
“Jadi apa peranan semua Dr Gigi yang lain? Sentiasa menyimpan rekod (charting, radiographs, study model) secara lengkap dan terperinci. sedia dikongsi kepada team DVI yang sah bila diperlukan.
“Peranan masyarakat? rawatan pergigian berkala penting untuk kesihatan oral dan rekod anda, maklumkan pada keluarga & kenalan dimana klinik gigi yang anda lawati.
“Disinilah ‘missing link‘ bagi team DVI mendapatkan rekod dari klinik. Jika ada maklumat,sampaikan pada saluran yg betul,” jelasnya.
Bagaimanapun, dengan tragedi yang baru menimpa rakyat Malaysia, Ibshah berharap orang ramai menyedari akan peranan serta sumbangan doktor gigi dalam siasatan berhubung kejadian di Elmina itu.