HomeBeritaPekerja tempatan sepatutnya dibayar gaji yang lebih adil - Rafizi

Pekerja tempatan sepatutnya dibayar gaji yang lebih adil – Rafizi

PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menzahirkan kebimbangan apabila Laporan Statistik Upah Pekerja Sektor Formal Suku Tahun 2023 menunjukkan sebahagian besar rakyat dibayar gaji yang rendah.

Menurutnya, sebanyak 82 peratus daripada 6.46 juta pekerja formal bergaji kurang dari RM5,000 sebulan manakala 35 peratus dibayar RM2,000 ke bawah.

“Sekiranya tiada dasar campur tangan dalam penentuan gaji, kami bimbang kecenderungan gaji permulaan tidak akan jauh beza dengan gaji minimum sekarang RM1,500,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan laporan itu di sini pada Jumaat.

Rafizi (tengah) bersama Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron (kiri) melancarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023.

Rafizi berkata, pekerja tempatan sepatutnya dibayar dengan gaji yang lebih adil dan mereka berhak mendapat keadilan itu.

Menurutnya, gaji permulaan untuk pekerja lepasan ijazah sepatutnya lebih tinggi bagi menjarakkan daripada gaji minimum.

“Gaji minimum RM1,500 sebenarnya adalah untuk pekerja yang tidak berkemahiran.

“Berdasarkan statistik dapatan awal menunjukkan ia (gaji pekerja mahir) sebenarnya mengheret ke bawah merapat gaji minimum.

“Paras gaji minimum itu telah diguna sebagai rujukan untuk membayar terutama lepasan ijazah dan pekerja berkemahiran yang muda,” katanya.

Kata Rafizi, fenomena tersebut memerlukan dasar segera untuk diperbetulkan.

Menurutnya, mesyuarat Dasar Gaji Progresif Isnin ini akan membentangkan jalan tengah yang boleh dilaksana secara praktikal di negara ini selain mendapat sokongan majikan.

Bagaimanapun, katanya, jika dasar ini dilaksanakan, ia juga memerlukan komitmen dan implikasi kewangan kepada kerajaan sama seperti kerajaan menyediakan hospital dan jalan raya.

“Sebelum ini, kenaikan gaji hanya berlaku dalam sektor awam dan ia tidak berlaku dalam sektor swasta kerana tiada dasar progresif yang jelas,” katanya.

 

 

Author

Pilihan Editor