CYBERJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pengorbanan jerih perih pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan harus sentiasa diingati dan dihargai.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya, beliau berkata perjuangan serta pengorbanan para pemimpin terdahulu telah membentuk jati diri bangsa Malaysia hari ini.
“Merdeka harus sentiasa tersemai dalam setiap jiwa kita, bagi memperingati legasi dan warisan tokoh-tokoh seperti Almarhum ayahanda saya Yusuf Merais, antara yang berjuang dengan semangat waja penuh pengorbanan dan keazaman tanpa mengenal titik henti.
“Bersama rakan seperjuangannya Rosli Dhobi, mereka gigih mengukir sejarah kemerdekaan negara, sebagai sebuah kisah yang penuh dengan curahan keringat, pengorbanan dan keberanian.
“Perjuangan serta pengorbanan mereka yang terdahulu telah membentuk jati diri bangsa kita sehinggalah hari ini,” katanya.
Tambahnya, semua kaum di negara ini saling melengkapi antara satu sama lain dalam meraikan kepelbagaian, keunikan budaya, kepercayaan di negara telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur.
“Cahaya Merdeka yang menyala dalam jiwa kita adalah warisan daripada mereka yang merupakan sumber semangat yang mampu kita abadikan dalam setiap usaha kita sehingga kini.
“Berakar umbi daripada legasi merdeka, perpaduan ini memaknai hubungan kukuh yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.
“Segulai Sejalai (Seiring Sejalan) kita memandang ke hadapan, melukis potret kemajuan yang kemakmuran dan perpaduan bersatu,” luahnya.
Beliau yakin setiap kejayaan yang Malaysia kecapi adalah didorong oleh roh merdeka, sebagai ingatan bersama terhadap obor perjuangan yang telah dinyalakan generasi terdahulu.
“Masa depan Malaysia diwarnai pertumbuhan negara yang berterusan, didorong oleh roh merdeka, sebagai ingatan bersama kita terhadap obor perjuangan yang telah dinyalakan generasi terdahulu,” jelasnya.