HomeGlobalPolis masih memburu pencuri mangkuk tandas emas

Polis masih memburu pencuri mangkuk tandas emas

LONDON: Sebiji mangkuk tandas emas 18 karat bernilai 5 juta pound (RM29.2 juta) hilang dipercayai dicuri di Istana Blenheim, England.

Lapor Daily Mail, mangkuk tandas itu direka oleh artis kontroversi dari Itali, Maurizio Cattelan dan merupakan sebahagian daripada pameran di Oxfordshire.

Difahamkan, mangkuk tandas emas itu dilarikan dari kediaman mewah Oxfordshire pada 14 September 2019.

Malah, hasil seni itu dicuri kira-kira sehari selepas ia dipamerkan kepada umum.

Meskipun sudah empat tahun berlalu dan hanya tujuh individu ditahan pada ketika itu, pasukan penyiasat masih belum mendakwa mana-mana suspek secara rasmi berkaitan insiden pecah rumah itu.

Namun, The Sun melaporkan polis kini sudah menghantar dokumen kes kepada pendakwa raya sekali gus meningkatkan kemungkinan pertuduhan akan difailkan.

“Kini terserah kepada Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota untuk membuat keputusan sama ada mahu mendakwa mana-mana tujuh suspek berkenaan yang ditahan sebelum ini,” jelas laporan seperti dipetik Utusan.

Suspek terdiri daripada enam lelaki berusia 36 hingga 68 tahun dan seorang wanita berusia 38 tahun.

Terdahulu, satu kenyataan memaklumkan mangkuk tandas emas itu pernah dipamerkan di Muzium Guggenheim di New York pada 2016.

“Ia kemudian dipindahkan ke Istana Blenheim yang mana diletakkan di ruang tertutup bertentangan dengan bilik tempat Winston Churchill (mantan perdana menteri) dilahirkan,” jelas kenyataan.

Menjadi perhatian apabila pelawat yang mengunjungi Istana Blenheim berpeluang menggunakan tandas terbabit dengan peruntukan masa selama tiga minit.

Author

Pilihan Editor