HomeGaya HidupPertandingan busana didik anak perempuan lasak jadi sopan, menawan

Pertandingan busana didik anak perempuan lasak jadi sopan, menawan

CYBERJAYA: Siapa sangka disebalik pemakaian busana tradisional yang cantik menawan diperagakan seseorang anak gadis itu punya kisah tersendiri.

Itulah yang dikongsi seorang ibu mengenai penyertaan dua orang anaknya yang cantik berbusana tradisional bersempena bulan kemerdekaan.

Asdarina Akmar Abdul Rahman, 37, berkata, tujuannya membawa anak-anak menyertai pertandingan busana adalah untuk mendidik mereka menjadi anak gadis yang sopan dan menawan.

Menurutnya, perwatakan lasak seperti anak lelaki yang ditonjolkan oleh dua orang anak perempuannya iaitu, Adriana Alyssa Norhafizi, 15 , dan Hani Ariana Ixara Norhafizi, 12, membuatkan dia sedikit bimbang.

“Saya bawa anak-anak sertai pertandingan busana ini sebab nak mereka biasakan diri pakai baju cantik-cantik macam perempuan.

“Sebabnya masa kecil, anak saya tunjuk perangai macam anak lelaki, lasak ala-ala ‘boyish’.

“Jadinya, bila mereka sertai pertandingan macam ini harap dapat bina ciri-ciri keperempuanan dalam diri mereka,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Adriana Alyssa Norhafizi, 15, dinobat sebagai juara Pertandingan Busana Merdeka yang berlangsung di Uptown Mines Serdang, semalam. Alyssa memperagakan busana tradisional kaum Cina iaitu cheongsam pengantin.
Hani Ariana Ixara Norhafizi, 12, menawan hati pengunjung apabila memperagakan busana kaum India iaitu sari dengan aksesori persis seekor merak di bahagian belakangnnya.

Ibu kepada lima orang anak itu turut menjelaskan bahawa penyertaan pertandingan berbusana nyata membuatkan anak-anaknya tidak begitu obses dengan penggunaan gajet.

Katanya, dia mula membawa anak-anaknya menyertai pertandingan busana sejak anak sulungnya, Adriana Alyssa berusia 8 tahun.

Justeru, banyak pertandingan yang telah disertai mereka baik di Kuala Lumpur mahupun negeri lain serta pertandingan yang melibatkan peserta dari luar negara.

Bercerita tentang penyediaan busana, Asdarina mengatakan kebanyakan pakaian yang diperagakan anaknya dibuat khas.

Malah kongsinya, dia turut meluangkan waktu mempelajari cara pembuataan aksesori busana menerusi perkongsian di YouTube bagi memastikan busana yang diperagakan oleh anak-anaknya tampak menawan.

“Setiap kali perayaan tak kira bulan merdeka ke, Chinese New Year ke Deepavali, saya akan bawa anak-anak sertai pertandingan busana.

“Kalau cuti sekolah lagi pack jadual mereka, boleh kata setiap hujung minggu akan ada pertandingan yang diaorang masuk.

“Mengenai busana mereka ni, memang disimpan dan mungkin lepas ni ingat nak buat sewa juga,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor