JOHOR BAHRU: Polis Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu Agama, Raja dan Kaum (3R) demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan.
“Polis sedang menyiasat kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan menerusi ceramahnya di Markas PAS Bakri, Muar pada 26 Ogos lalu.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Abdul Hadi ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri mendakwa, cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.
Beliau berkata, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya Lembaga Pengampunan.
“Undang-undang Islam dilaksanakan untuk mendidik bukan menyeksa,” kata Ahli Parlimen Marang itu.