HomeGlobalPM Kanada Justin Trudeau dan isteri berpisah

PM Kanada Justin Trudeau dan isteri berpisah

 

PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau dan isterinya, Sophie berpisah selepas 18 tahun, selepas “perbincangan yang penuh makna tetapi sukar”.

Pasangan itu dalam catatan Instagram berkata, mereka akan kekal sebagai “keluarga rapat yang penuh dengan kasih sayang dan rasa hormat yang mendalam”.

Mereka berkahwin di Montreal pada tahun 2005 dan mempunyai tiga anak.

Dalam satu kenyataan, pejabat Trudeau berkata, walaupun pasangan itu telah menandatangani perjanjian perpisahan, mereka masih akan membuat penampilan umum.

“Mereka berusaha untuk memastikan bahawa semua langkah undang-undang dan etika berhubung keputusan mereka untuk berpisah telah diambil, dan akan terus berbuat demikian pada masa hadapan,” kata kenyataan itu, sambil menambah mereka akan bercuti sebagai sebuah keluarga minggu depan.

Pasangan itu telah meminta diberi privasi untuk “kesejahteraan” anak-anak mereka, Xavier, 15, Ella-Grace 14, dan Hadrien, sembilan.

“Kami kekal sebagai keluarga rapat yang penuh dengan kasih sayang dan rasa hormat yang mendalam antara satu sama lain dan untuk semua yang telah kami bina dan akan terus bina,” kata Trudeau, 51, dan Sophie GrĂ©goire Trudeau, 48.

Mereka jarang dilihat bersama secara terbuka sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun mereka menghadiri pertabalan Raja Charles III bersama pada Mei dan menjadi tuan rumah kepada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden di Kanada pada Mac.

Apabila Trudeau pertama kali dipilih sebagai perdana menteri pada 2015, pasangan itu muncul dalam halaman majalah Vogue yang berprofil tinggi di mana Sophie memberitahu majalah itu bahawa pada akhir makan malam selepas janji temu pertama mereka, Trudeau berkata, “Saya berumur 31 tahun, dan saya menunggu awak selama 31 tahun”.

Dalam catatan ulang tahun perkahwinan di Instagram pada Mei 2022, Sophie menulis tentang cabaran hubungan jangka panjang, dengan mengatakan “kami telah mengharungi hari yang cerah, hujan ribut, dan segala-galanya di antaranya”.

Trudeau juga telah bercakap tentang cabaran dalam perkahwinan mereka, menulis dalam autobiografinya pada 2014: “Perkahwinan kami tidak sempurna, dan kami alami pasang surut yang sukar, namun Sophie tetap kawan baik saya, pasangan saya, cinta saya. Kami jujur antara satu sama lain, walaupun ia menyakitkan.”

Kedua-duanya mula berkencan pada 2003, ketika Sophie bekerja sebagai personaliti TV. Dia juga terkenal dengan kerja amalnya mengenai kesihatan mental dan pemakanan yang tidak betul.

Trudeau merupakan perdana menteri Kanada kedua yang mengumumkan perpisahan semasa memegang jawatan. Yang pertama ialah bapanya, mendiang Pierre Elliott Trudeau, dan ibu Margaret Trudeau, yang mengumumkan perpisahan mereka pada 1977 selepas enam tahun bersama. Mereka kemudiannya bercerai. – BBC News

Author

Pilihan Editor