HomeBeritaPolitikPolemik logo, tema Hari Kebangsaan 2023 kebudak-budakan - KJ

Polemik logo, tema Hari Kebangsaan 2023 kebudak-budakan – KJ

ISU berbangkit mengenai tema dan slogan Hari Kebangsaan 2023 antara blok kerajaan dan pembangkang disifatkan sebagai kebudak-budakan.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, konflik tersebut juga menjadi bukti berlaku perpecahan di negara ini.

“Ini satu lagi bukti negara kita berpecah sampai logo dan tema bulan kemerdekaan pun jadi polemik.

“Bagi saya sangat childish, bagi saya termasuk dua-dua belah pihak termasuk pentaksub dua-dua belah pihak,” menerusi podcast Keluar Sekejap pada Isnin.

Dalam pada itu, Khairy turut membangkitkan isu tema dan logo Hari Kebangsaan yang mencetuskan polemik bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dilakukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

“Pada tahun 2012 dah mula tema Merdeka 55 iaitu 1Malaysia Janji Ditepati dan ketika itu Pakatan Rakyat keluar dengan slogan Sebangsa, Senegara, Sejiwa.

“Dah mula la daripada situ bukan saya nak ungkit benda lama, PAS pun ada dalam tu.

“Selangor pun ada tema dan logo dia sendiri. Kini menteri-menteri kata cabul semangat federalisme – ‘come on’ lah dulu pun kamu buat, jadi dua-dua salah,” katanya.

Khairy secara berseloroh berkata, slogan Hari Kebangsaan di Malaysia adalah sesuatu yang sangat penting.

“Kalau tak dak slogan bulan merdeka boleh ada rusuhan.

“Pakailah apa sahaja kerajaan dah putuskan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN baru-baru ini.

Tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’ dan logo dengan elemen bunga raya akan digunakan.

Cadangan Pemuda PN itu, berikutan tema Hari Kebangsaan yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ didakwa mempunyai perkataan yang diulang-ulang semasa kempen politik.

 

Author

Pilihan Editor