HomeGaya HidupBahaya sapu bedak talkum pada wajah si kecil - Pakar

Bahaya sapu bedak talkum pada wajah si kecil – Pakar

TAHUKAH anda bahawa tabiat menyapu bedak talkum kepada anak-anak kecil adalah satu perkara yang memudaratkan?

Menurut perkongsian Dr Ahmad Luqman Bukhari, tindakan menyapu bedak talkum pada muka anak selepas mandi boleh mengakibatkan si kecil mengalami masalah pernafasan.

Menurutnya, berdasarkan bacaan dalam American Academy of Paediatrics, masalah pernafasan itu berpunca dari debu bedak yang dipakai.

“Partikel bedak talcum tu kan halus sangat-sangat.

“Bila kita sapu kat anak, risiko memang tinggi untuk anak kita terhidu lalu berterusan masuk ke dalam salur pernafasan.

“Akhirnya boleh sampai ke paru-paru si comel kita hingga menyebabkan dia sering terbatuk, sesak nafas dan akhirnya mengalami jangkitan paru-paru yang serius (talcum powder poisoning),” katanya seperti dilapor portal Pa&Ma.

Selain itu, bedak talkum yang disapu pada si kecil turut berupaya merosakkan salur pernafasan bayi yang masih kecil.

Jelasnya, perkara itu berdasarkan hasil kajian American Academy of Paediatric.

“Sedikit debu talkum pun cukup bahaya serta mampu merosakkan salur pernafasan bayi yang kecil.

“Mintak tolong ya mak ayah sekalian. Janganlah duk seronok nak pakaikan bedak talkum ni pada anak kecil.

“Lagi-lagi bayi yang berisiko dan mempunyai sistem pernafasan sensitif seperti bayi pramatang, anak yang menghidap sakit jantung dan mempunyai breathing problem sejak lahir.

“Tak apalah kalau anak kita nampak comot sikit, tak berbedak wangi macam anak orang lain. Asalkan kesihatan dia tak terganggu,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor