CYBERJAYA: Polis Pahang sedang mengenal pasti dalang yang menjual bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya kini giat menjalankan siasatan sebelum tindakan selanjutnya.
Maklumnya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan berhubung sindiket terbabit.
“Sebenarnya penjualan darjah kebesaran itu berlangsung selama seminggu di platform itu sebelum ia ditutup disebabkan tular di media sosial,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelepasan Petugas Bantuan Sumber Manusia (BSM) Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke -15 di Dataran Kawad, Kompleks PDRM Alor Akar di Kuantan, Pahang, hari ini.
Terdahulu, polis Pahang menyiasat kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.
Kegiatan penjualan itu dikesan selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan menerima laporan dan siasatan awal mendapati satu set darjah kebesaran itu dijual pada harga melebihi RM1,000.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.
Yahaya dalam kenyataan sebelum ini berkata, semua pihak tidak dibenarkan memasang atau memaparkan lambang atau emblem darjah kebesaran negeri Pahang pada mana-mana bahagian kenderaan mereka tanpa kebenaran.
“Mengikut Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 menyatakan tiada seorang pun boleh kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan mempamer atau melekatkan apa-apa bahan yang mengandungi apa-apa lambang gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya kepada apa-apa kenderaan.
“Mana-mana individu yang disabitkan bagi kedua-dua kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.