HomeGlobalPotret gadis hantui keluarga dengan siri gangguan

Potret gadis hantui keluarga dengan siri gangguan

SEORANG wanita percaya bahawa potret yang dibeli dari sebuah kedai amal di United Kingdom (UK) berhantu, lapor New York Post.

Zoe Elliot-Brown, 36, turut yakin bahawa potret tersebut merasuki ibunya, Jayne Elliot-Brown yang berusia 68 tahun.

Potret itu memaparkan gambar seorang gadis muda berpakaian merah yang merenung tajam, menarik perhatian Jayne dari awal, selepas pemiliknya terdahulu mendakwa ia sudah ‘merosakkan‘ hidup mereka.

Sejak Zoe dan ibunya membeli potret itu dengan harga AS$25 (RM115), beberapa siri insiden aneh berlaku kepada keluarga mereka.

“Saya tidak pernah melihat ibu saya menginginkan sesuatu dengan kuantiti banyak.

“Ibu saya terpesona dengan potret itu tapi bukan dengan cara positif. Dia melindungi potret itu dan terus merenungnya.

“Meskipun potret itu tidak perlu digilap, ibu saya tetap berbuat demikian,” katanya.

GANGGUAN BERTERUSAN

Kesihatan Jayne (kiri) semakin teruk selepas memiliki potret tersebut. -Foto:Agensi

Selepas mereka menggantung lukisan itu di ruang tamu, kesihatan Jayne didakwa berubah menjadi lebih teruk termasuk sering kerisauan dan demam panas.

Malah, Jayne juga pernah pengsan di bilik air sekali gus mendorong Zoe menghubungi ambulans.

Pernah satu ketika apabila terjaga dari tidur pada waktu pagi, Zoe ternampak ibunya membelai pipi figura dalam potret tersebut.

Selain itu, Jayne juga pernah mendengar ketukan di pintu kediamannya pada waktu malam selama tiga hari berturut-turut.

Dua minggu kemudian, Zoe dan teman lelakinya, Ben terserempak dengan lembaga hitam besar yang berdiri di hadapan mereka ketika sedang berjalan tidak jauh dari kediamannya.

“Lembaga itu cuba mengejar dan menangkap saya menyebabkan kami lari lintang pukang,” katanya.

Zoe melupakan hasrat untuk menjual semula potret tersebut selepas tidak mahu orang lain mengalami nasib malang. -Foto: Agensi

Sejak itu, Zoe nekad untuk menyingkirkan potret berhantu tersebut dengan memulangkannya di kedai amal.

Namun, ketika dalam perjalanan pulang dari kedai amal tersebut, Zoe mendapati tayar baharu kenderaanya pancit.

Tidak lama kemudian, Zoe memutuskan untuk mengambil semula potret tersebut dari kedai amal tersebut, setelah memikirkan untuk tidak mahu orang ramai mengalami nasib sama seperti keluarganya.

Potret itu kini ditempatkan di luar kediaman keluarga tersebut. -Foto: Agensi

Lukisan itu kini ditempatkan di dalam kotak di luar kediaman Zoe, manakala anjing belaan keluarga tersebut juga tidak dibenarkan untuk mendekatinya.

Pada masa sama, Zoe sedang mencari seseorang untuk ‘membersihkan‘ dan mengangkat sumpahan daripada potret itu.

Author

Pilihan Editor