HomeBeritaPolitikPRK: Amanah Johor tidak tolak khabar angin Khalid Samad sebagai calon

PRK: Amanah Johor tidak tolak khabar angin Khalid Samad sebagai calon

 

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor tidak menolak khabar angin kemungkinan Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Abdul Samad disenaraikan sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, perkara itu tertakluk kepada keputusan dibuat kepimpinan pusat dan pihaknya akan akur dengan ketetapan itu, namun berharap calon bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram nanti adalah individu tempatan yang mempunyai sokongan akar umbi.

“(Pencalonan Khalid Abdul Samad) Itu terpulang kepada kepimpinan pusat kerana keputusan akhir mereka yang tentukan. Kita di peringkat negeri akan senaraikan calon-calon yang dirasakan layak, mempunyai kaliber dan berintegriti.

“Tetapi apa yang penting kita mahukan calon itu mestilah anak tempatan dan juga orang Johor, tetapi kalau kepimpinan pusat buat keputusan lain kita ambil maklum,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Amanah Johor, di Kangkar Pulai, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad; Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat serta barisan kepimpinan Amanah Johor.

Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading memberitahu, ketika ini pihaknya baharu menerima satu pencalonan bagi kerusi Parlimen Pulai, manakala bagi kerusi DUN Simpang Jeram masih tiada nama diserahkan peringkat bahagian, lapor Utusan Malaysia.

“Jadi, kami beri masa hingga minggu depan untuk kedua-dua bahagian terlibat menyerahkan senarai nama calon mereka. Apabila diperoleh, Amanah negeri akan buat tapisan daripada pelbagai aspek termasuk latar belakang dan kelayakan calon, sebelum nama itu diserahkan kepada kepimpinan pusat untuk membuat keputusan akhir siapa yang akan bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan.

“Apa yang penting, calon tersebut adalah muka baharu, bermakna mereka tidak pernah bertanding di kerusi berkenaan sebelum ini, memang itu antara kriteria yang kita tetapkan,” jelasnya.

Aminolhuda turut memberitahu, kepimpinan tertinggi parti akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan negeri pada 13 Ogos, iaitu sehari selepas hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.

PRK tersebut diadakan ekoran berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Author

Pilihan Editor