CYBERJAYA: Peratusan rakyat keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini dijangka tidak mencapai sehingga 90 peratus, kata Prof Madya Dr Rusdi Omar.
Namun, penganalisis politik itu berkata, ia bergantung kepada bilangan anak jati sesebuah negeri yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing pada hari tersebut.
Rusdi juga tidak menolak kemungkinan jumlah itu akan berkurangan kerana kebanyakan pengundi mempunyai persepsi bahawa mereka tidak akan memberi sebarang kesan kepada kerajaan pusat sekiranya pulang mengundi.
Menurutnya, pengundi turut berasa lemah apabila pilihan raya berlangsung beberapa kali dalam tempoh terdekat, ditambah pula mereka tidak mahu sejarah pentadbiran terdahulu berulang.
“Khususnya PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) ada sampai tiga Perdana Menteri. Oleh itu, sekarang adalah masa untuk muhasabah diri dan move on untuk masa depan negara,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Perikatan Nasional (PN) mampu menawan Selangor jika 90 peratus pengundi Melayu keluar mengundi.
Pengerusi PN itu berkata, jangkaan tersebut dibangkitkan memandangkan sebahagian pengundi di negeri itu adalah kaum Melayu.
Mengulas mengenai perkara itu, Rusdi menyatakan meskipun majoriti pengundi Melayu akan keluar mengundi, mereka tidak semestinya akan memilih PN sebagai parti pilihan.
Apa yang lebih penting, katanya, polisi atau data yang dirancang adalah tepat dan dilaksanakan.
“Kalau sebar sahaja polisi tapi tak ada data, saya rasa susah juga PN nak menang di Selangor.
“Kita tak nafi kalau kita lihat pada PRU15, majoriti Melayu keluar mengundi dan beri kelebihan pada PN. Tetapi, pada masa itu kita kena ingat bahawa PN adalah kerajaan pusat.
“Dan ketika ini kerajaan pusat adalah di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan. Takkanlah negeri Selangor boleh tak sealiran dengan kerajaan pusat? Kita tak mahu perkara berlaku seperti sebelum ini apabila kerajaan pusat dan kerajaan negeri berbeza, maka rakyat Selangor akan dapat kurang manfaat,” jelasnya.
PENGUNDI RESPONS PENTADBIRAN KERAJAAN
Sementara itu, Dr Mohammad Tawfik Yaakub menjangkakan jumlah peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini adalah tidak kurang daripada 70 peratus.
Namun, penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM) itu berkata bahawa, masih terlalu awal untuk beliau meramal perkara tersebut.
Katanya, pilihan raya kali ini adalah pertama kali dilaksanakan selepas PRU15, dimana para pengundi akan menguji dan memberi respons terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang sudah dibentuk.
“Apa sahaja keputusan PRN kita lihat sebagai proses demokrasi dan lebih baik kadar keluar mengundi itu lebih tinggi kerana ini merupakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Bercakap mengenai kadar peratusan undi awal yang tinggi, Mohammad Tawfik berkata, beliau tidak boleh menilai perkara itu secara keseluruhan.
Katanya, ini disebabkan undi awal membabitkan anggota barisan hadapan yang tidak boleh lari daripada menunaikan tanggungjawab, demi memastikan kelancaran suasana hari mengundi.
“Bagi saya, kita perlu lihat dari dua dimensi iaitu mereka ditugaskan pada hari mengundi.
“Kedua, majoriti anggota keselamatan dan petugas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) merupakan orang Melayu. Maka, dua dimensi itu penyebab peratusan keluar mengundi itu tinggi,” tambahnya.
Hari pengundian awal PRN pada Selasa menyaksikan peratusan keluar mengundi tinggi, dengan kadar lebih 90 peratus di kesemua enam negeri terlibat.
Jumlah anggota barisan hadapan seperti polis, tentera dan petugas SPR yang keluar mengundi di Kedah dilapor tertinggi dengan kadar 96.02 peratus, diikuti Terengganu dengan 95.91 peratus, Selangor dengan 95.87 peratus dan Pulau Pinang 95.01 peratus.
Sementara itu, kadar undi awal di Negeri Sembilan adalah 94 peratus, manakala Kelantan dengan 93.90 peratus.