HomeBeritaPolitikProf Mat sah TKM1, Jagdeep TKM2 Pulau Pinang

Prof Mat sah TKM1, Jagdeep TKM2 Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Desas-desus mengenai pelantikan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang akhirnya terjawab apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid sah dilantik memegang jawatan itu, hari ini.

Pelantikan Mohamad, 49, atau lebih dikenali sebagai Prof Mat turut menamatkan spekulasi yang sebelum ini tular ucapan tahniah dengan gambar ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai TKM1.

ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo, pula dilantik sebagai TKM2.

Kedua-dua mereka mengangkat sumpah ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Sri Pinang di sini, kira-kira pukul 10.20 pagi tadi.

Dalam pada itu, sejarah pembentukan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang telah direalisasikan menerusi pelantikan 11 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk lapan muka baharu.

Barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang baharu ialah Chow Kon Yeow (Pengkalan Kota), Prof. Mat (Batu Maung), Jagdeep (Datok Keramat), Rashidi Zinol (Sungai Acheh), Zairil Khir Johari (Tanjong Bunga), Wong Hon Wai (Paya Terubong), Lim Siew Khim (Sungai Pinang), H’Ng Mooi Lye (Jawi), Gooi Zi Sen (Padang Lalang), Datuk Seri S. Sundarajoo (Perai) dan Fahmi Zainol (Pantai Jerejak).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu, gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) telah membentuk kerajaan negeri dengan memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Mengikut pecahan parti, DAP telah memenangi ke semua 19 kerusi yang ditandingi, PKR (7), BN (2) dan Amanah (1).

Sementara itu, BN telah merampas kembali dua kerusi, iaitu DUN Bertam dan Sungai Acheh. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor