CYBERJAYA: Gara-gara trend ‘sebab boleh dik’, seorang doktor mengalami situasi yang sama seperti para guru apabila kanak-kanak yang datang bersama ibu bapanya memberi jawapan tersebut ketika diajukan beberapa soalan.
Menurut seorang doktor dikenali Kamarul Ariffin Nor Sadan, dia berasa kesal apabila jawapan kanak-kanak itu turut mengundang ketawa daripada ibu bapanya.
“‘Sebab boleh, doktor!’ Semalam dah viral cikgu-cikgu mengadu murid-murid ramai guna ‘catchphrase’ ni di sekolah. Hari ni saya pula terkena.
“Dapat jawapan macam ni bila saya tanya soalan. Saya tanya elok-elok, dijawab macam tu. Lepas tu ibubapa dia sakan ketawa.
“Budak tu pun makin seronok jawab soalan saya yang lain dengan jawapan yang sama,” luahnya menerusi ciapan di Twitter.
Walaupun terkilan, Dr Kamarul tetap mengulang soalan yang sama sehingga pesakit atau ibu bapa pesakit itu menjawab dengan betul.
Kongsinya lagi, ibu bapa kanak-kanak tersebut memintanya memberikan surat cuti sakit kepada kanak-kanak itu namun, dia menjawab bahawa dia tidak mempunyai surat berkenaan.
Aneh dengan jawapan yang diberikan doktor, kanak-kanak itu bertanya mengapa boleh tidak ada.
Melihatkan peluang untuk membalas perbuatan kanak-kanak yang kurang adab itu, Dr Kamarul membalas kembali jawapan ‘sebab boleh dik’.
Sebaliknya, jawapan doktor Kamarul hanya dipandang tanpa riak oleh ibu bapa kanak-kanak terbabit.
“Setelah selesai periksa, ibubapa suruh anaknya minta saya berikan surat cuti sakit. Saya kata pada budak tu saya tak ada surat cuti sakit.
“Dia tanya kenapa tak ada? ‘Sebab boleh, dik!’ jawab saya polos. Terus hilang gelak dan sengih mereka. Saya sangka mereka akan gelak, rupanya tidak,” ceritanya.
Malah, Dr Kamarul rasa bersalah selepas ibu bapa dan kanak-kanak itu beredar dari bilik konsultansi tanpa bertanya lebih.
“Saya pula rasa bersalah. Takut mereka terasa hati. Akhirnya saya keluarkan juga surat cuti sakit untuk budak tu, suruh staf beri masa mereka ambil ubat nanti.
“Kenakan orang, memang sedap. Kena dekat diri sendiri, terus sentap. Eh, entahlah. Malas fikir,” jelasnya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa terkilan dengan ibu bapa kanak-kanak terbabit yang tidak pandai membezakan antara gurauan dan serius.
“Zaman dulu kalau budak-budak cakap kurang ajar dengan orang tua confirm makan penampar. Sekarang acah terpaling child abuse, tapi anak jadi kurang ajar tak apa pulak. Bergurau tak kena tempat. Tak ada sifat hormat orang tua,” komen netizen.
“Kes-kes macam ni la buat masyarakat kita nanti jadi tak ada adab. Nak melawak tapi tak kena tempat dan orang nak melawak. Masa aku kecil-kecil dulu, dok buat kelolo (kurang sopan) jawab ‘sebab boleh’ ni, mau makan penampar free ja.” kongsi netizen.
“Ini kalau tanya parents budak tu mesti cerita dia acah teraniaya. ‘Doktor tu ingat dia kelakar ke’, part anak dia main-mainkan orang dia tak cerita,” selar netizen.