HomeBeritaSPM diawalkan, KPM akan keluar kenyataan rasmi

SPM diawalkan, KPM akan keluar kenyataan rasmi

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, yang dijangka bermula lebih awal pada 5 Disember ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu setakat ini.

“Kita (kementerian) tak keluarkan kenyataan lagi.Tunggu sahaja laporan penuh kita nanti,” katanya selepas melancarkan Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Pustaka Raja Tun Uda, di sini, pada Selasa.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, SPM 2023 dijangka bermula pada Disember ini sejajar langkah KPM bagi mengembalikan sesi permulaan persekolahan kembali kepada asal iaitu pada Januari secara beransur-ansur.

Peperiksaan itu akan bermula dengan ujian amali sains pada 5 Disember, diikuti ujian bertutur pada 8 Januari tahun depan, manakala bagi peperiksaan bertulis, dijadualkan berlangsung pada 30 Januari.

Ini berbeza dengan jadual yang dihadapi oleh pelajar SPM 2022 yang bermula pada 30 Januari sehingga 15 Mac lalu.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM sudah pun mengenal pasti lokasi untuk membangunkan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di Sabah.

“InsyaALLAH, kita akan umumkan apabila sekolah itu akan muka beroperasi di negeri itu,” jelasnya.

Konsep SBJK diperkenalkan di bawah Dasar Pendidikan Wajib adalah sekolah model khas yang menumpukam kepada kriteria kanak-kanak tanpa dokumen, tiada warganegara dan juga golongan rentan yang berada di sekitar Chow Kit atau Kuala Lumpur untuk diberi pendidikan.

Tujuan KPM menubuhkan sekolah khas itu adalah bagi memenuhi sistem dan aspirasi murid, selaras konsep digarapkan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), iaitu ‘Education For All’ atau ‘Pendidikan Untuk Semua’.

Sebelum ini, KPM bercadang memperluaskan konsep SBJK ke Sabah dan Sarawak, selain negeri lain dalam jangka masa panjang.

Author

Pilihan Editor