HomeBeritaTak berasas dakwa sekolah agama Selangor ditutup - Menteri Agama

Tak berasas dakwa sekolah agama Selangor ditutup – Menteri Agama

CYBERJAYA: Dakwaan lebih 200 buah sekolah agama di Selangor diarah tutup adalah tidak berasas dan tuduhan tidak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor telah dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2021.

Beliau berkata, ini susulan insiden kebakaran sehingga melibatkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada 2017.

Katanya, garis panduan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar dan seluruh warga institusi persendirian

“Inisiatif ini juga diambil sebagai langkah supaya tragedi meragut nyawa tidak berulang lagi mana-mana sekolah agama di negeri Selangor.

“Pada masa sama, penguatkuasaan Garis Panduan tersebut telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian,” katanya satu dalam kenyataan.

Pada Selasa, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam Selangor dan Negeri Sembilan menyuarakan kebimbangan terhadap isu amaran penutupan sekolah agama di negeri itu.

Pengerusi Sekretariat NGO berkenaan, Datuk Nazilah Idris memaklumkan, lebih 200 sekolah agama rakyat dinafikan, apabila diberikan surat amaran untuk keluar daripada premis perniagaan yang disewa.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah dimaklumkan sejak 2021 bahawa, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui kerajaan negeri sudah menetapkan pihak sekolah perlu memenuhi syarat pendaftaran melalui Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama.

Tambahnya, kelonggaran telah diberi kepada pihak sekolah selama dua tahun.

Dalam tempoh ini, katanya, JAIS sudah mengeluarkan pendaftaran lanjutan bagi memberi peluang kepada pihak sekolah mendapatkan ulasan dari agensi yang berkaitan

“Justeru, dakwaan oleh pihak berkaitan yang kononnya amaran telah diberikan kepada sekolah agama persendirian supaya diarah keluar dari premis adalah tidak benar sama sekali dan berniat menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam.

“Semua pihak adalah digesa supaya merujuk isu ini kepada pihak berautoriti supaya fakta dan konteks sesuatu isu itu tepat serta jelas, ” katanya.

Author

Pilihan Editor