HomeGlobalTak puas hati anak ditegur merokok, ibu bapa lastik mata guru

Tak puas hati anak ditegur merokok, ibu bapa lastik mata guru

SEORANG guru sekolah menengah hampir mengalami buta, setelah diserang oleh ibu bapa kepada salah seorang pelajarnya pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Padang Ulak Tanding, Iptu Hengky Noprianto berkata, kejadian itu berlaku di SMA Negeri 7 di Rejang Lebong, Bengkulu, Indonesia.

Hengky berkata, guru yang dikenali sebagai Zaharman itu diserang gara-gara menegur dan mengambil tindakan ke atas pelajar yang merokok di sekolah.

“Pelajar itu kemudian pulang ke rumah dan mengadu kepada ibu bapanya,” kata Hengky di Ibu Pejabat Polis Daerah Rejang Lebong pada Selasa.

Berang dengan aduan itu, ibu bapa pelajar tersebut kemudian datang ke sekolah dan memberitahu pengawal keselamatan bahawa anak mereka telah dipukul oleh guru sukan berkenaan.

Namun, pengawal keselamatan itu sebaliknya menghalang kedua-duanya daripada memasuki kawasan sekolah, selepas melihat mereka membawa sebilah pisau dan lastik.

Tidak lama kemudian, kedua-dua suspek berjaya bertemu Zaharman sebelum melastik mangsa hingga terkena matanya.

Melihat mangsa dalam keadaan berdarah, suspek segera beredar dari kawasan sekolah tersebut.

“Guru tersebut masih menjalani rawatan dan akan menjalani pembedahan di hospital. Mangsa cedera akibat dilastik dengan peluru batu, ” kata Hengky seperti dilapor Lampost.Co.

Selepas menerima keterangan saksi dan mangsa, pihaknya akan menahan suspek serangan itu.

Sementara itu, pelajar terbabit yang dikenali sebagai PDM, 16, sering ditangkap merokok sehingga mendapat amaran daripada pihak sekolah.

Author

Pilihan Editor