CYBERJAYA: Penyanyi, Datuk Aishah mendedahkan dia kerap mengalami mimpi buruk selepas menerima bungkusan yang dihantar menerusi perkhidmata penghantaran barang (kurier) sekitar dua minggu lalu.
Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin mengakui dia mula merasai perubahan aneh selepas membawa masuk bungkusan tersebut ke dalam kawasan rumahnya.
“Saya mimpi macam ada orang terkam dari belakang, nampak macam bayangan seorang lelaki.
“Benda itu dalam kotak nampak macam bungkusan bateri motor, nama penerima memang betul nama saya tapi saya yakin tiada pesan sebarang barang ketika itu.
“Saya ambil bawa masuk dalam rumah tapi saya mula dapat rasa seram sejak bungkusan tu ada dalam rumah.
“Rasa macam ada orang tarik dari dalam perut, rasa macam mahu berguling-guling, pendek kata rasa macam nak ada sesuatu yang tidak kena dengan diri saya,” katanya seperti dilapor portal HibGlam.
Tambahnya lagi, mimpi buruk itu turut menyebabkan kehidupan sehariannya terganggu.
“Nampak macam bayang seorang lelaki, wajahnya seakan pernah nampak tetapi tak kenal.
“Susah untuk saya terangkan tetapi begitulah hakikatnya.
“Pada masa itu, saya dah mula syak benda ini berlaku disebabkan bungkusan tersebut tapi pada masa sama tetap menafikan sebab macam pelik orang hantar benda bukan-bukan melalui kurier,” ujarnya.