KUALA TERENGGANU: Rakyat tanpa mengira fahaman politik diminta mensyukuri nikmat kemerdekaan serta bersatu padu membangunkan negeri dan negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat perlu akui Malaysia sebuah negara unik dengan rakyatnya terdiri pelbagai kaum hasil penyatuan 14 negeri.
Katanya, keunikan itu menjadikan negara istimewa dan terbilang di mata dunia.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah berakhir dan sudah tiba masanya untuk kita eratkan semula silaturahim dan bukannya untuk kita berpecah-belah, saling berbalah dan berpolitik siang malam,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian melalui perutusan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri pada Khamis.
Majlis sambutan Hari Kemerdekaan 2023 peringkat negeri disempurnakan Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail Sultan Zainal Abidin.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri dan pusat akan terus mara untuk membina negara berasaskan perpaduan nasional, semangat federalisme dan patriotisme.
Katanya, jika diimbau sejarah nusa dan bangsa, negara sudah dijajah dan ditakluk sejak berabad lamanya.
“Generasi sekarang beruntung kerana perjuangan, perih dan jerih generasi terdahulu menghadiahkan kita sebuah nikmat kemerdekaan yang amat bermakna.
“Sehingga hari ini negara kita mampu berdiri teguh sebagai negara merdeka, berdaulat dan majmuk dengan pelbagai kaum,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata, seluruh rakyat perlu bersatu padu bagi mengekalkan keamanan supaya tidak diganggu-gugat oleh anasir yang boleh merosakkan perpaduan negara.
“Kita ingin mengajak seluruh rakyat negeri ini supaya sentiasa mensyukuri nikmat kemerdekaan serta bersatu padu membangunkan negeri dan negara yang kita cintai,” katanya.