HomeBeritaViralUmur 46 masih jadi mangsa buli, doktor saran berhenti kerja elak kesihatan...

Umur 46 masih jadi mangsa buli, doktor saran berhenti kerja elak kesihatan terjejas

CYBERJAYA: Baru-baru ini, seorang individu tampil berkongsi ceita pengalaman pahitnya menjadi mangsa buli semasa bekerja di sebuah syarikat sekitar tahun 2019.

Menerusi perkongsian TikTok Josh Awang, walaupun sudah tiga tahun berhenti kerja di syarikat terbabit namun kesannya masih kekal sehingga hari ini.

“Pengalaman saya bermula tahun 2019, sebelum COVID, di mana saya bekerja di sebuah syarikat public listed.

“Walaupun saya pegang jawatan yang sangat tinggi, saya ada dua orang lagi bos yang merupakan ketua department dan juga CEO jadi saya lapor kepada mereka.

“Pengalaman saya adalah satu pengalaman yang memang sangat-sangat pahitlah sebab saya dibuli saban hari ye. Blood pressure badan saya naik mendadak sehingga 180 tahap atas, yang bawah tu naik lebih kurang 130,” kongsinya.

Pada mulanya, Josh berkata, dia tidak menyedari bahawa dirinya sedang dibuli.

Sebaliknya dia lebih menyalahkan diri sendiri dengan beranggapan dirinya memang layak menerima kritikan daripada pihak atasan.

“Pada masa itu, saya yang salah, saya patut kenalah kan dan umur saya pada masa tu 46. Jadi bayangkan pada umur itu saya kena marah, maki dan pijak-pijak sampai tak ada nilai diri.

“Sampai saya menangis di khalayak orang ramai lebih kurang lima kali, teruk sangat  sampai bukan sahaja menangis macam air mata turun tapi dah macam melambak-lambak lah,” dakwanya lagi.

Selepas mengalami tekanan yang teruk, Josh memutuskan untuk berjumpa doktor kerana mula rasa pening yang melampau.

Setelah berjumpa doktor, barulah dia menyedari bahawa dirinya menjadi mangsa buli majikan sendiri sehingga berlaku tekanan.

Tambahnya, doktor turut meminta dia membuat pemeriksaan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) serta-merta.

Lebih mengejutkan, doktor tersebut mencadangkan supaya dia berhenti bekerja di syarikat terbabit.

“Saya tanya doktor kenapa bagi nasihat macam ini, dan doktor tu kata bos awak kita (doktor)  jumpa dia lebih kurang sekali dalam tiga bulan dan kita kena layan dia 15 minit, dan dalam 15 minit tu tak ada siapa-siapa dalam klinik dia boleh tahan dia.

“Saya tak faham macam mana awak boleh kerja dan terpaksa jumpa dia setiap hari dan kena lanyak tiap hari. 

“Jadi secara peribadi saya cadangkan quit kalau boleh untuk keselamatan nyawa awak,” nasihat doktor terbabit.

Sementara itu, Josh yang kini berada dalam bidang media sosial sering berasa panik dan takut untuk mengecewakan pelanggannya disebabkan trauma tempat kerja lama.

“Saya rasa seperti tengah buat satu dosa yang teramat sangat sampai rasa nak putus asa bila kecewakan pelanggan.

“Baru ni rakan sekerja saya tegur cakap saya over react, lepas tu stres gila. Saya rasa macam orang tengah lemas,” jelasnya.

Josh mengakhiri video dengan menasihati mangsa buli atau merasakan mereka dibuli untuk mendapatkan rawatan.

“Bagi mereka yang pernah dibuli di tempat kerja atau hubungan rumah tangga, dapatkan rawatan daripada psikiatri atau khidmat kaunseling,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor