DAKWAAN Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), baru-baru ini, bahawa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa diajarkan Islam kerana pihak yang berhak berbuat demikian ialah ahli keluarga mangsa jenayah, bukan Lembaga Pengampunan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Bagi pengamal undang-undang, ucapan sebegitu bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan. Apatah lagi, Abdul Hadi selaku ahli Parlimen sudah bersumpah dan berikrar akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah berkuasa memberi ampun (pardon), tunda hukum (reprieves) dan lega hukum (respites) terhadap hukuman mengenai segala kesalahan yang sudah dibicarakan Mahkamah Tentera dan segala kesalahan dilakukan dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Peruntukan sama juga menyatakan Raja atau Gabenor sesuatu negeri berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum segala kesalahan lain dilakukan di negerinya.
Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan bahawa satu Jemaah Pengampunan hendaklah ditubuhkan bagi setiap negeri dan dianggotai Peguam Negara, Ketua Menteri negeri itu dan tidak lebih daripada tiga ahli lain dilantik Raja atau Gabenor.
Perkara 42(8) pula menyatakan bahawa Jemaah Pengampunan itu hendaklah bermesyuarat di hadapan Raja atau Gabenor dan Raja atau Gabenor itu hendaklah mengetuai mesyuarat itu.
Selanjutnya, Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan menyatakan sebelum Jemaah Pengampunan memberi nasihatnya mengenai apa-apa perkara ia hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin sudah dikemukakan Peguam Negara mengenai perkara itu.
Dalam Islam, isu pengampunan ini lazimnya berbangkit dalam kesalahan qisas membabitkan kematian. Dalam kes seperti ini, waris kepada mangsa bunuh itu boleh memilih untuk menggantikan hukuman bunuh balas dengan wang diyat atau memberikan pengampunan penuh kepada pesalah. Dalam kes mangsa berkenaan tidak meninggalkan waris, maka ulama bersepakat bahawa Raja atau pemerintah berkuasa untuk memberikan pengampunan itu.
Dalam kenyataan Abdul Hadi itu, beliau tidak memperincikan bagaimanakah hal pengampunan itu berlaku. Beliau membuat satu kenyataan yang pada asasnya mempersoalkan hak dan keistimewaan diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja dan Gabenor. Tindakan beliau mempersoalkan kuasa diberikan itu adalah satu bentuk penghinaan kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja dan Gabenor dan boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam.
Hakikatnya, Polis Diraja Malaysia juga sudah berkali-kali mengingatkan ahli politik untuk tidak membangkitkan isu 3R (kaum, Raja dan agama) dalam kempen politik pilihan raya. Apatah lagi bagi Abdul Hadi mempersoalkan kuasa prerogatif diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Dalam kes Juraimi Husin v Pardons Board of State of Pahang & Ors [2002] 2 MLRA 121, Mahkamah Persekutuan memutuskan kuasa pengampunan itu adalah kuasa prerogatif Sultan Pahang dan mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri kuasa prerogatif diberikan kepada Sultan Pahang.
Dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v Mohd Khairul Azam Abdul Aziz [2023] 3 MLRA 149, Mahkamah Rayuan menyifatkan tindakan responden mencabar pengampunan penuh diberikan kepada Anwar sebagai satu tindakan seorang penyibuk (busybody) dan pencari masalah (trouble maker).
Kedudukan responden sebagai seorang warganegara dan peguam tidak memberikan hak kepadanya untuk mempersoalkan proses pengampunan yang diberikan serta mahkamah sudah membatalkan tindakan saman ke atas Anwar itu.
Ucapan tak wajar
Menariknya, mahkamah juga menegaskan kedudukan undang-undang Perlembagaan bahawa kuasa pengampunan itu adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan mahkamah sendiri tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri atau mempersoalkan pengampunan diberikan.
Berbalik kepada isu asal itu, ucapan Abdul Hadi itu adalah ucapan tidak wajar diungkapkan, terutama semasa kempen politik pilihan raya. Selain itu, jika perlu pun pandangan daripada waris, maka pihak Jemaah Pengampunan boleh menggunakan saluran lain untuk mendapatkan pandangan mereka apabila membabitkan kes berkaitan kematian.
Jemaah Pengampunan selanjutnya boleh membentangkan pandangan waris itu pada mesyuarat pengampunan dihadiri Yang di-Pertuan Agong atau Raja.
Kedudukan undang-undang di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ini meliputi apa-apa jenis kesalahan dan bukan terhad kepada hukuman berkaitan kesalahan bunuh qisas sahaja.
Apa-apa kesalahan lain juga boleh diampunkan Yang di-Pertuan Agong termasuk kesalahan dianggap takzir dalam Islam. Oleh itu, pandangan Abdul Hadi secara umum mengenai pengampunan itu adalah kurang tepat.
Kita semua menjunjung tinggi kedaulatan Raja-Raja Melayu dan sistem Raja Berperlembagaan. Justeru, usahlah bermain dengan perkara membabitkan prerogatif dan keistimewaan Raja-Raja.
Tindakan bermain dengan isu sedemikian hanya akan memporak-perandakan masyarakat. Tegasnya, apa-apa penambahbaikan kepada sistem pengampunan yang ada dalam Perlembagaan ini boleh disalurkan melalui jalan sepatutnya.
Abdul Hadi sendiri selaku ahli Parlimen boleh menyuarakan hal ini melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi di bawah Parlimen.
Artikel asal tulisan Dr Zulqarnain Lukman ini disiarkan di portal Berita Harian. Penulis adalah Peguam Bela, Peguam Cara dan Peguam Syarie.