HomeSukanKelantan United harus bangkit dari igauan ngeri

Kelantan United harus bangkit dari igauan ngeri

KEKALAHAN 1-5 kepada Sri Pahang FC kelmarin telah meletakkan Kelantan United FC dalam situasi meruncing dan perlu segera bangkit serta mencari kemenangan untuk berada dalam kedudukan selamat.

Ketua jurulatihnya, Ailton Silva secara terbuka menyeru barisan pemain, kejurulatihan, pengurusan dan keseluruhan warga Kelantan United untuk bangkit dan memberikan yang terbaik.

Menurutnya, tidak dapat disangkal lagi bahawa satu perubahan perlu dilaksanakan demi kebaikan pasukan kerana kualiti yang dimiliki Sang Kijang Hijau pada ketika ini tidak cukup untuk mereka mencabar kedudukan teratas Liga Super.

“Sejujurnya sehingga ke hari ini saya tetap berbangga dengan semua pemain atas apa yang te­lah mereka berikan tetapi tidak dapat disangkal, apa yang kita ada ketika ini tidak mencukupi dan kita perlukan perubahan.

“Kita perlu teruskan perjua­ngan dengan cara kita. Bukan hanya saya, barisan jurulatih dan pengurusan tetapi seluruh warga kelab perlu menghormati baju dan lencana ini (Kelantan Uni­ted) dan terus memberikan yang terbaik,” tegasnya pada sidang akhbar selepas perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.

Pengendali Brazil itu menjelaskan, semua pihak perlu mengakui bahawa musim ini bukan untuk Kelantan United dan selepas ini pasukan itu akan berdepan satu lagi perlawanan sukar.

Katanya, pertemuan dengan Kuching City FC pada 4 September di halaman sendiri nanti adalah sangat penting dan Kelantan United wajib memenangi perlawanan itu demi meningkatkan kembali keyakinan pemain.

“Saya mahu tegaskan bahawa pada perlawanan menentang Kuching City nanti, kita bukan hanya perlukan tiga mata tetapi enam mata. Maksudnya ia merupakan sebuah perlawanan wajib menang.

“Kita sememangnya perlu menghormati pihak lawan tetapi kita tetap perlu memenangi per­lawanan tersebut untuk membina kembali keyakinan dan berada dalam kedudukan yang selamat,” katanya.

Mengulas perlawanan malam tadi, beliau mengakui ketumpulan penyudah merupakan masalah paling besar bagi Sang Kijang Hijau apabila banyak peluang dicipta gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan.

“Penyudah tumpul adalah masalah utama. Kita berjaya cipta banyak peluang tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol sedangkan Sri Pahang mencipta peluang sama banyak dengan kita tetapi mampu menjaring sehingga lima gol,” katanya. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor