CYBERJAYA: Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan yang membuat hantaran e-mel menggunakan logo rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PDRM melalui Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memaklumkan, sindiket tersebut menghantar e-mel secara meluas bagi memperdaya orang ramai.
Maklumnya lagi, e-mel tersebut memaparkan notifikasi bahawa pemilik e-mel memiliki saman di bawah kesalahan lalu lintas yang tertunggak dan perlu dijelaskan segera.
“Jika tidak, anda akan diambil tindakan undang-undang.
“Pengguna seterusnya diminta membayar sejumlah wang secara dalam talian atau kandungan melalui pautan yang disediakan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Dalam hebahan sama, PDRM menegaskan bahawa tiada sebarang transaksi pembayaran melalui e-mel seperti yang diwar-warkan.