HomeBeritaMahkamah & JenayahBunuh, bakar kekasih hamil: Peguam mohon tertuduh dirujuk psikiatri

Bunuh, bakar kekasih hamil: Peguam mohon tertuduh dirujuk psikiatri

 

SABAK BERNAM: Peguam bela seorang pemuda yang didakwa membunuh kekasih hamilnya pada Mei lalu, memohon kepada Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini, agar anak guamnya dirujuk kepada pakar psikiatri.

Peguam Muhammad Nor Tamrin berkata, permohonan bagi Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, itu dikemukakan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

“Permohonan itu dibuat dengan mengambil kira faktor ‘natural case’ (sifat kes) yang didakwa dilakukan anak guam saya.

“Berdasarkan hasil temu bual dengan tertuduh, kami turut mempunyai keterangan terbaharu berkaitan keadaan mentalnya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri bagaimanapun tidak membantah permohonan itu dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

Majistret Siti Hajar Ali kemudian menetapkan 26 September depan bagi sebutan semula kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul Aiman didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi 23 Mei lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kosmo! pada 24 Mei lalu melaporkan, seorang lelaki diibaratkan dirasuk syaitan apabila bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanitanya.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek sebanyak dua kali selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa.

Selain memukul dan menoreh perut pelayan restoran itu, suspek dipercayai turut sempat membeli minyak petrol di stesen minyak untuk membakar mangsa.

Author

Pilihan Editor