CYBERJAYA: Gara-gara tidak membayar hutang seorang wanita nekad menggunakan kuasa tular media sosial untuk menagih hutang daripada seorang lelaki.
Menerusi perkongsian video TikTok, wanita berkenaan memuat naik foto lelaki yang juga pemain bola sepak dan dipercayai pemain pasukan Pahang dengan kapsyen ‘orang hutang’.
Bercerita lanjut di ruangan komen, wanita itu memberitahu lelaki terbabit meminjam duitnya kerana ingin membuka sebuah kedai makan.
“Saya fund dia duit kedai makan RM100,000, baru bayar RM11,000. Ada lagi RM89,000 dia janji nak bayar setiap bulan RM4,000, hanya tiga bulan sahaja dia bayar lepas tu dah tak bayar empat bulan.
“Bila minta alasan Pahang hold gaji, tak kan lah empat bulan tak dapat gaji, satu sen pun dah tak bayar sekarang ni. Bila minta banyak alasan siap maki saya lagi.
“Kalau saya maki tu memang logik sebab tak bayar hutang kita, tapi saya pulak dia maki,” katanya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen tidak mempercayai individu berkenaan bersikap demikian.
Malah, netizen menasihati wanita itu untuk memadam video tersebut kerana ia seperti membuka aib seseorang di media sosial.
“Banyak cara nak kutip hutang ni, macam ni aku tak setuju sebab bila dia dah settle hutang dengan awak, aib hutang dia awak tak akan dapat cover semula dah. Guna saluran yang betul,” komen netizen.
“Faillah mahkamah buat tuntutan di sana, cara begini dia boleh kenakan sis balik dengan saman malu,” kongsi netizen.
“Bila kita tutup aib orang, Allah akan tutup aib kita. Doakan dia Allah cukupkan rezeki untuk selesai hutang itu lebih baik,” tulis netizen.
Menjawab kecaman netizen, wanita itu menegaskan dia tidak akan memaafkan warga net yang memfitnah dirinya.
“Yang fitnah saya bukan-bukan, tanggung kat akhirat. Saya tak akan maafkan,” jelas wanita itu.