BEKAS Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin tidak menolak kemungkinan bahawa beliau akan menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Hal ini kerana katanya, beliau mahukan platform yang memperjuangkan kepentingan pelbagai bangsa.
“Mungkin… ada kemungkinan (masuk Gerakan) saya akan cari platform yang saya sebut akan membawa kepelbagaian bangsa,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau ditemui media selepas sesi tinjauan mesra di Jalan Mahkamah dan Pasar Sungai Ara di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Rabu.
Bagaimanapun, Zuraida berkata, penampilannya membantu kempen calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas merangkap Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau hanyalah sebagai aktivis politik.
Selain itu, beliau turut bercadang tampil di pentas ceramah Perikatan Nasional (PN) dalam memberi penerangan, terutamanya membabitkan isu berkaitan pengalamannya selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Tambah bekas Ahli Parlimen Ampang itu, beliau tidak ‘berehat’ daripada politik dan berhasrat membantu PN menembusi kawasan bukan Melayu, sekali gus meraih sokongan untuk PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Saya lebih menumpukan kepada usaha membantu PN menembusi kawasan bukan Melayu serta mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu kerana saya rasa saya boleh main peranan itu.
“Sebab itu saya membantu Gerakan agar saya dapat membawa satu imej yang lebih terbuka, neutral yang boleh diterima semua lapisan masyarakat,” katanya.