HomeBeritaViralLelaki sanggup 'rembat' kasut pagi-pagi buta di Hulu Langat

Lelaki sanggup ‘rembat’ kasut pagi-pagi buta di Hulu Langat

CYBERJAYA: Bebanan kos sara hidup adakalanya memaksa seseorang bertindak kurang waras, meskipun membahayakan keselamatan diri.

Perkara itu termasuk tindakan segelintir individu terdesak mahu memenuhi kepentingan diri, walaupun dengan mencuri barangan murah semata-mata.

Terbaharu, seorang lelaki bertindak mencuri sepasang kasut di sebuah unit Pangsapuri Seri Mesra, dekat Taman Wawasan, Hulu Langat, Selangor.

Aksi lelaki berbaju maroon dan bertopi keledar merah itu sempat dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) dalam kejadian pada Selasa.

Menerusi video tular itu, lelaki tersebut pada mulanya menjengah dari luar rumah yang disasarkan untuk mencari barang berharga.

Lelaki itu kemudian dilihat mencapai sepasang kasut biru, selepas yakin dirinya tidak diperhatikan dalam kejadian pukul 3 pagi ketika penghuni rumah masih tidur.

Dia kemudian dilihat beredar dari kawasan pangsapuri itu, sambil membawa lari kasut berkenaan yang dipercayai mahu dijual semula.

Difahamkan, lelaki terbabit masih belum diberkas, manakala laporan polis sudah pun dilakukan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut.

Author

Pilihan Editor