AMPANG JAYA: Seorang wanita yang juga jurujual pencuci rambut ditemui mati bersama dua anaknya di bilik sewa mereka di Kampung Baru Ampang, di sini, pagi tadi.
Mayat tiga beranak itu ditemui oleh seorang lagi penyewa bilik lain unit rumah yang sama di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Ampang, kira-kira jam 7.30 pagi.
Susulan maklumat itu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, bergegas ke lokasi sebelum menemui jasad tiga beranak itu dalam sebuah bilik tidur utama.
Mayat wanita berusia 42 tahun terbabit ditemui bersama anak lelakinya yang berusia 14 tahun dan anak perempuan berusia 15 tahun.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka disyaki mati akibat terhidu bau gas penghidup api.
Pemeriksaan oleh Pegawai Pembantu Perubatan Hospital Ampang, mengesahkan ketiga-tiga mangsa sudah meninggal dunia lebih dari 24 jam. – Berita Harian