KUALA LUMPUR: Sebanyak 17,241 kenderaan diperiksa menerusi Op Khas Kenderaan Perdagangan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bermula Rabu hingga semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, daripada jumlah itu, 5,897 lori diperiksa serta 652 bas dan 10,692 kenderaan lain-lain.
Menurutnya, operasi khas lima hari itu dilaksanakan bagi mengurangkan kadar nahas jalan raya terutama membabitkan kemalangan maut.
“Selain memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan dan undang-undang lalu lintas sedia ada, ia juga diharap dapat menjadikan lalu lintas terkawal serta diselaraskan dengan efektif.
“Sebanyak enam tangkapan dilakukan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, satu tangkapan untuk Kanun Keseksaan serta sebanyak 27 tangkapan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Selain itu, sebanyak 35 kenderaan disita dalam operasi khas ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mat Kasim berkata, semasa operasi khas tersebut, 2,724 lori dikenakan saman, bas (109) serta lain-lain kenderaan (629).
Bagi operasi timbang berat, katanya, 35 kenderaan melalui proses itu dan tiga daripadanya disita kerana pelbagai kesalahan.
“Operasi khas itu juga memberi tumpuan ke atas pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol, selain kenderaan membawa muatan lebih atau kesalahan lain yang menyumbang kepada keadaan fizikal kenderaan berat.
“Operasi pada minggu lalu itu membabitkan sebanyak 2,613 kekuatan keseluruhan pegawai kanan polis dan anggota,” katanya.
Selain itu katanya, ops khas itu mendapat kerjasama serta kolaborasi daripada agensi lain antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS). – Harian Metro