PETALING JAYA: Polis memberkas seorang lelaki disyaki ahli kongsi gelap dikenali ‘Geng 08’ selepas dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah rumah di Taman Dagang Permai dekat sini, kelmarin.
Suspek yang juga merupakan pemandu lori itu turut didapati terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar kawasan Ampang sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, satu laporan polis telah dibuat lelaki berusia 27 tahun mengenai rumahnya dipecah.
Kata beliau, mangsa mendapati tingkap pada bahagian dapur telah terkopak kira-kira pukul 5.50 pagi.
“Susulan kejadian itu, empat beg tangan berjenama yang diletakkan di bahagian dapur turut hilang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohd Azam, bertindak atas maklumat dan risikan suspek berusia 41 tahun telah ditaahan di Rumah Pangsa, Jalan Industri semalam.
Kata beliau, pemeriksaan tubuh badan suspek mendapati terdapat beberapa tatu disyaki sebagai ahli kongsi gelap.
“Suspek mempunyai 25 kes jenayah lampau yang mana 13 rekod melibatkan jenayah dan 12 lagi berkaitan narkotik.
“Ujian air kencing ke atas suspek positif dadah jenis Methamphetamin,” jelasnya.
Tambah beliau, hasil tangkapan itu, tujuh utas rantai leher selain enam telefon bimbit telah dirampas diikuti masing-masing tiga beg komputer riba, permainan video.
“Turut dirampas iaitu dua pasang kasut dan masing-masing satu sarung muka serta seluar jeans. Selain itu, satu keping plat kekuningan dan wang tunai bernilai RM170.
“Siasatan awal pihak polis mendapati modus operandi suspek mengumpil pintu atau tingkap belakang rumah dan menyasarkan kawasan perumahan yang tidak punyai pengawal keselamatan,” jelasnya.
Mohd. Azam berkata, suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan dan Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966,” katanya. – Utusan