SHAH ALAM: Pelakon dan model, Dynas Mokhtar mengambil pendekatan mengajar anaknya menyuarakan buah fikir dan berpendirian tegas demi mengelak menjadi mangsa penderaan.
Pemilik nama penuh, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 40, turut mengakui melakukan penelitian secara menyeluruh sebelum menghantar kesemuanya anaknya ke pusat penjagaan.
“Saya ambil pendekatan menyemak sekolah dan pusat penjagaan sebelum hantar mereka ke sana. Saya akan tengok dahulu bagaimana suasana, ada kamera disediakan atau tidak kerana semua itu penting.
“Kita kena ajar anak untuk ada pendirian dan bersuara. Jika nak mengadu apa-apa, saya dengar. Mereka boleh bercakap tentang apa sahaja dengan saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengulas mengenai sikap culas ibu bapa yang meninggalkan anak di dalam kereta berjam-jam lamanya, Dynas merasakan mungkin kejadian seperti itu ada kaitannya dengan kesejahteraan mental.
Jika mental ibu bapa tidak stabil, ia akan memberikan kesan buruk terhadap emosi dan perasaan anak-anak.
“Isu seperti tertinggal anak dalam kereta boleh berlaku mungkin kerana mereka hilang fokus atau sedang dalam keadaan kelam kabut. Perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.
“Sebab itu pentingnya untuk ibu bapa ada sistem sokongan yang baik. Jika tahap kesihatan mental kita terganggu, perasaan anak-anak turut tertekan.
“Sekarang ramai kanak-kanak semakin ramai mempunyai masalah kemurungan di Malaysia cuma ibu bapa tidak sedar,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, pelakon Nikah Cerai Rujuk itu sedang sibuk membuat persediaan membuka sebuah restoran dan butik di Bukit Jelutong, Shah Alam tidak lama lagi. – Utusan