KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menarik balik atau membatalkan lesen perniagaan yang diberi kepada orang tempatan, jika didapati lesen itu disewakan kepada warga asing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian di sebuah majlis pelancaran Medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.
“Gerai-gerai yang diberi kelulusan kepada orang tempatan, kalau dia sublet (sewakan) kepada orang bukan rakyat Malaysia, kita tarik balik lesen gerai (daripada pemilik asal),” katanya.
Menurut beliau, gerai-gerai yang diberi kelulusan kepada orang tempatan untuk berniaga, tidak dibenarkan untuk disewakan kepada orang bukan warganegara.
“Lesen yang diberi kepada penduduk tempatan, mesti digunakan oleh orang tempatan,” katanya.
“Kalau didapati lesen itu diserahkan atau disewakan kepada orang asing, kita akan batalkan lesen itu dan serah kepada orang lain,” katanya lagi.
Antara tindakan yang akan diambil termasuk menarik balik lesen niaga daripada pemilik warganegara asal, atau membatalkan sama sekali.
Amaran tegas daripada beliau itu bersusulan dengan sebuah rakaman video yang memaparkan warga asing berniaga di hadapan kedai-kedai di sekitar kawasan Seremban.