HomeBeritaPolis buru lelaki tunjuk kemaluan di Bukit Mertajam

Polis buru lelaki tunjuk kemaluan di Bukit Mertajam

SEBERANG PERAI: Polis sedang menjejaki seorang penunggang motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna merah yang dipercayai berkelakuan tidak senonoh, apabila menunjukkan kemaluannya di tempat awam dalam satu kejadian di Bukit Mertajam di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, terdahulu, rakaman video mengenai perbuatan lelaki itu tular selepas dimuat naik ke dalam laman Twitter kira-kira pukul 9 malam tadi.

Menurut Cheng San, siasatan polis mendapati, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 9 pagi Ahad di kawasan parkir kenderaan berdekatan Pizza Hut Alma, Bukit Mertajam di sini.

“Suspek atau lelaki terbabit yang tidak diketahui bangsanya, dikatakan datang ke tempat tersebut menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna merah dengan nombor pendaftaran palsu.

“Ketika kejadian, suspek telah menghampiri pengadu iaitu seorang wanita warga tempatan yang berada dalam sebuah kereta. Suspek kemudian membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluannya kepada pengadu sebelum beredar,” katanya seperti dilapor Kosmo pada Isnin.

Jelas Cheng San, susulan itu, pengadu membuat laporan di Balai Polis Bukit Mertajam dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Orang awam dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berhubung kejadian tersebut kepada pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Yusrashidi Yussof ditalian 017-4336334 atau berhubung dengan mana-mana balai polis yang berhampiran,” ujar beliau.

Author

Pilihan Editor