CYBERJAYA: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon masing-masing untuk dikemukakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, pada Rabu.
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BN akan mengumumkan calonnya di Dewan Majlis Perbandaran Bentong, Pahang pada jam 8.30 malam Rabu.
Beliau berkata, majlis pelancaran jentera BN untuk PRK Dun Pelangai juga akan diadakan di Dataran Simpang Pelangai jam 2.30 petang Rabu.
“Semoga majlis ini dapat berjalan dengan lancar dan teratur, terutamanya dalam memastikan kerusi DUN Pelangai ini terus kekal menjadi milik BN.
“Saya berharap penduduk di DUN Pelangai terus dapat memberi kepercayaan kepada BN seperti mana sebelum ini, agar kami dapat teruskan perkhidmatan demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Rabu.
Selain BN, PN juga mengumumkan pelancaran jentera pilihan raya dan pengumuman calon yang diadakan serentak di Simpang Pelangai pada jam 9 malam Rabu.
“Tiba masanya untuk rakyat Pelangai memilih wakil rakyat baru. Tiba masanya bekerja untuk kemenangan.
“Jom hadir beramai-ramai ke Simpang Pelangai memeriahkan majlis pelancaran jentera dan pengumuman calon,” menurut PAS dalam kenyataan di laman Facebook rasminya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.
PRK DUN Pelangai adalah PRK yang keempat diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PRK Kuala Terengganu, Pulai dan Simpang Jeram.