PAKAR tentera Singapura berjaya meletupkan bom Unexploded Ordnance (UXO), yang dipercayai digunakan ketika Perang Dunia Kedua seberat 100 kilogram (kg) pada Selasa.
Bom yang tidak meletup itu ditemui di tapak pembinaan kondominium di Bukit Timah, dekat timur laut negara tersebut.
Media antarabangsa melaporkan, lebih 4,000 orang yang tinggal di kediaman berdekatan sudah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Menerusi perkongsian video di laman Facebook The Singapore Army, pegawai tentera dilihat memasang beg pasir di kawasan bom yang akan diletupkan.
Kawasan tapak pembinaan itu kemudian digegarkan dengan dua bunyi letupan yang kuat pada kira-kira jam 12.30 tengah hari dan 1.45 tengah hari.
Pihak polis telah memberi amaran kepada penduduk supaya tidak bimbang dengan letupan itu dan mengelak daripada berada berhampiran kawasan terbabit.
Menurut Pasukan Pelupusan Ordnance Letupan SAF (EOD) dari Batalion ke-36, UXO itu dikenal pasti sebagai tidak selamat untuk dipindahkan ke lokasi lain dan perlu dilupuskan.
Melibatkan lebih 40 anggota SAF, pelupusan itu dilakukan secara terkawal.
“Kerja-kerja perlindungan membabitkan beg pasir dan blok konkrit juga dilaksanakan untuk meminimumkan kesan letupan itu,” tulis satu catatan Facebook.