HomeBeritaMahkamah & JenayahBung Moktar, Zizie lepas, bebas pertuduhan rasuah

Bung Moktar, Zizie lepas, bebas pertuduhan rasuah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan rasuah RM2.8 juta daripada dua ejen pelaburan unit amanah Public Mutual.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri pada 2 September tahun lalu.

Pada 3 Mei 2019, Bung, 65, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie, 45, pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Mahkamah Sesyen pada 2 September tahun lepas, memerintahkan Bung dan Zizie membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Ini mendorong mereka untuk memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi.

Namun Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan yang difailkan pasangan itu tanpa mendengar merit permohonan tersebut.

Berikutan penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan semakan itu, mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun pada 7 julai lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah mengembalikan semula permohonan semakan yang difailkan Bung dan Zizie ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit permohonan itu.

Pasangan itu memfailkan permohonan semakan bagi mencabar perintah Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin memerintahkan permohonan semakan pasangan itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk mempertimbangkan merit permohonan itu

Hakim Hadhariah yang mengetuai panel itu berkata apabila permohonan semakan difailkan, adalah menjadi kewajipan Mahkamah Tinggi untuk mempertimbangkan merit permohonan itu tanpa mengira apa jua cara permohonan itu difailkan. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor