HomeGlobalOIC kutuk rejim Israel paksa wanita Palestin bogel, ugut serangan anjing

OIC kutuk rejim Israel paksa wanita Palestin bogel, ugut serangan anjing

PERTUBUHAN Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan anggota tentera wanita Israel yang melakukan kekejaman ke atas wanita Palestin baru-baru ini.

Susulan itu, organisasi itu menggesa pertubuhan antarabangsa berkaitan untuk memberi tekanan kepada negara haram Israel, bagi menghentikan pencabulan hak asasi manusia wilayah Palestin yang diduduki selain mengambil tindakan sewajarnya.

Pada Rabu, pertubuhan hak asasi manusia Israel B’Tselem mendedahkan bahawa, anggota tentera wanita Israel yang bersenjata dan bertopeng sambil diiringi oleh beberapa ekor anjing menyerbu kediaman keluarga warga Palestin di Hebron.

Dalam serbuan itu, rejim pengganas tersebut memaksa lima wanita Palestin untuk berbogel dan memberi ugutan anjing-anjing berkenaan akan menyerang mereka sekirang enggan berbuat demikian.

Malah, keluarga itu mendakwa, kediaman mereka digeledah manakala barang kemas dirampas.

Sementara itu, Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Israel akan menerima balasan akibat daripada kekejaman tersebut.

“…ini menunjukkan Israel tidak menghormati mana-mana undang-undang antarabangsa atau sebarang konvensyen.

“Malah, Israel juga tidak menunjukkan minat terhadap undang-undang antarabangsa yang melindungi orang yang dijajah, manakala masyarakat antarabangsa terus mengabaikan jenayah Israel yang tiada kesudahan.”

“Hamas menekankan bahawa jenayah ini adalah perkara serius dan tiada tindakan balas daripada rakyat Palestin. Semua perkara dilakukan Israel hanya sebagai keganasan kepada rakyat Palestin. Mereka juga melarang sebarang bantahan atau perjuangan Palestin untuk kebebasan,” kata Hamas seperti dilapor Middle East Monitor.

Author

Pilihan Editor