CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata adalah tidak adil Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengancam untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Perkara itu susulan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah.
Kata Anwar, kuasa untuk membuat keputusan terbabit bukannya terletak di bawah bidang kuasanya dan sepanjang sembilan bulan memimpin kerajaan, beliau tidak pernah mencampuri urusan pihak berkuasa serta badan perundangan dan kehakiman.
“Maknanya kalau ugut saya tak setuju (tiba-tiba) tarik balik (sokongan terhadap kerajaan). Itu bukan bidang saya. Kalau kamu tarik balik pendakwaan kepada (Ahmad) Zahid, kami tak sokong kamu. Jadi maknanya saya mesti dakwa dan hukum?
“Saya nak kata, yang siasat itu kerja SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) dan polis. Yang dakwa itu AG (peguam negara). Yang putuskan itu hakim. Mengapa saya kata faham sedikit sebanyak (timbul) keresahan? Sebab kita mewarisi sistem sedemikian.
“Bahawa orang politik rakus, zalim menggunakan kuasa untuk mendera orang. Saya lalui proses itu. Sekarang saya perdana menteri. Saya tak sanggup guna kuasa sebegitu rupa. Saya minta penjelasan tetapi oleh kerana orang itu biasa dengan sistem begini puluhan tahun, dia rasa beginilah nanti caranya.
“Siapa jadi perdana menteri dia akan tangkap musuh, dia akan dera. Saya tak nafikan ini perjalanan yang sama. Tapi AG, ketua hakim dan menteri agama, …dalam jemaah menteri, kita tak pernah pergi ke perkara ini.
“Ketua (pesuruhjaya) SPRM, ketua hakim, peguam negara, …tanya mereka. Sembilan bulan saya (jadi) perdana menteri tak pernah campur. Oh tak percaya (pula)? Itu soal lainlah kerana itu pengalaman kamu. Keadaan berubah dan orang lain yang jaga,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian usai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling, hari ini.
Untuk rekod pada Selasa lalu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengeluarkan kenyataan akan menarik sokongan seterusnya keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Ancaman itu dibuat sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak menjelaskan secara terperinci berhubung keputusan mahkamah terhadap kes rasuah membabitkan Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri.