KUALA LUMPUR: Dua kenderaan musnah terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), dekat sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 7.10 pagi tadi.
“Seramai 14 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil dan BBP Sri Petaling dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, kami dapati kebakaran membabitkan dua kenderaan berpunca akibat kemalangan jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kenderaan terbabit dalam kejadian itu adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail dan Perodua Myvi, yang terbakar 100 peratus.
“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh anggota bertugas beberapa minit kemudian dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini.
“Operasi seterusnya diserahkan kepada pihak penyelenggara lebuh raya untuk tindakan lanjut,” katanya. – Harian Metro