RATA-RATA manusia khususnya kaum wanita pasti sensitif dengan soalan berkaitan berat badan.
Lantas, sebilangan daripada mereka mengambil keputusan untuk menurunkan berat badan dengan pelbagai cara termasuklah berdiet.
Tapi, adakah anda ketahui bahawa terdapat sejenis diet yang dikenali sebagai ‘diet yoyo’?
Menurut Ketua Jabatan Pemakanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Norhasmah Sulaiman, diet yoyo bermaksud keadaan seseorang akan mengalami penurunan berat badan tetapi pertambahan berat badan berlaku dalam tempoh yang cepat semula.
Katanya, situasi itu boleh berlaku secara berulang-ulang disebabkan perubahan corak pemakanan.
“Contohnya, pada bulan puasa jumlah makanan yang diambil berkurangan, manakala apabila hari raya corak pemakanan berubah kerana pengambilan makanan boleh dilakukan bila-bila masa tanpa had, dengan kuantiti yang berlebihan.
“Oleh itu, peningkatan berat badan akan berlaku dengan cepat,” katanya memetik Berita Harian.
Katanya lagi, kenaikan berat badan semula sejurus selepas berjaya menurunkannya boleh membuatkan seseorang itu rasa putus asa.
Ini kerana menurunkan berat badan bukan satu perkara yang mudah.
“Jika berat badan kembali naik dan perlu berdiet semula daripada peringkat awal, ia boleh membuatkan berasa lebih sukar untuk melakukannya.
“Individu yang mengalami kesan diet ini mempunyai rasa kepercayaan diri yang lebih rendah terhadap tubuhnya berbanding mereka yang tidak mengalaminya.
“Bukan itu sahaja, seseorang yang mengalami kesan jenis Diet Yoyo juga boleh mengalami depresi disebabkan mereka tidak berkemampuan untuk menurunkan berat badan dan mengekalkannya,” kongsinya.
Susulan itu, beliau berharap orang ramai lebih cakna dalam isu kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil pemakanan seimbang.