HomeGlobalAnjing dinobat juara AGT 2023, bawa pulang RM4.7 juta

Anjing dinobat juara AGT 2023, bawa pulang RM4.7 juta

SEEKOR anjing betina dikenali Hurricane yang melakonkan watak sebagai ‘pengarah’ kepada penjaganya, Adrian Stoica muncul juara dalam program America’s Got Talent (AGT) musim ke-18 baru-baru ini.

Gelaran itu sekali gus membuatkan Hurricane dan tuannya membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.71 juta).

Malah, haiwan belaaan yang menewaskan sembilan lagi peserta akhir AGT itu turut berpeluang membuat persembahan di America’s Got Talent Presents Superstars Live di Luxor Hotel and Casino di Las Vegas.

Gelagat Hurricane dan tuannya itu turut membuatkan juri AGT, Simon Cowell kelihatan tidak dapat menahan ketawa sewaktu menonton persembahan lucu Stoica dan Hurricane menyifatkan persembahan mereka sebagai ‘pelakon’ hebat yang wajar diambil untuk berlakon dalam filem, lapor HibGlam.

“Hurricane sangat bagus berlakon. Dia patut diberi peluang untuk muncul di dalam filem atau persembahan muzikal. Dia adalah ‘seekor’ bintang,” kata Cowell.

Dalam persembahan yang ditonjolkan itu, Stoica memaparkan situasi kononnya dia mahu keluar menikmati makan malam bersama seorang lagi juri AGT, Sofia Vergara dan telah meminta bantuan anjingnya (Hurricane) untuk bersiap.

Dalam aksi akhir itu, Hurricane telah membantu tuannya dengan memilih pakaian yang harus dipakai dan mengarahkan lelaki itu untuk melakukan beberapa perkara ‘romantik’ untuk memikat hati Vergara.

Kepintaran dan aksi yang dipamerkan anjing comel itu turut membuatkan penonton terhibur dan berdiri kerana kagum melihat kelincahannya beraksi.

Sewaktu pengacara AGT, Terry Crews mengumumkan kemenangan lelaki itu bersama anjingnya, kedua-dua mereka kelihatan gembira sehingga menitiskan air mata.

Author

Pilihan Editor